Hmm.. apa nak cerita tentang Brunei Darussalam aka Bandar Seri Begawan (BSB) ni ekk. Takpe, kumulai dengan cerita permulaan perjalanan dari Samarahan hinggalah ke Brunei. Alhamdulillah syukur pada Allah SWT yang memudahkan perjalanan musafir kami ke bumi BSB pada 31 Mei hingga 2 Jun 2012 (walaupun perancangan dan keputusan dibuat dalam masa seminggu jer-nak buat pasport antarabangsa lagi). Kami berkonvoi dua kereta - satu kereta (kepunyaan Zack), Linda sekeluarga dan satu lagi kereta encik suami, kami yang naik - kusendiri, encik suami dan Zack.
Kami mulai perjalanan dari rumahku pukul 7.30 pagi dan berhenti rehat untuk bersarapan di Serian. Usai bersarapan, kami meneruskan perjalanan hingga ke Sri Aman - buang hajat dan seterusnya makan tengah hari yang agak lewat di daerah Selangau. Sebab nak mudah, kami membuat pesanan menu yang sama. Terpaksa jimatkan masa untuk sampai ke Bintulu sebelum malam menjelang - hampir 12 jam kami berada di jalanan.
Alhamdulillah, dalam pukul 7.30 malam kami sampai di rumah keluarga angkatku di Kpg Penan Muslim Batu 10, Bintulu. Dapatlah kami berehat barang semalam. Terima kasih pada bapak, mak, kak Suraya dll kerana telah melayan kami dengan baik. Jasa baik dan budi kalian, hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.
Keseokan paginya usai bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Miri (mengambil masa 2-3 jam) menelusuri jalan tepi pantai. Kami makan tengah hari di bandar Miri seketika. Dengan semangat berkobar-kobar dan penuh teruja, kami melewati jambatan penghubung untuk ke BSB (tak jauh pun-mengambil masa 15 minit). Seterusnya melalui pos kawalan Imigresen Malaysia dan Brunei - perlu isi borang untuk pengesahan kenderaan masuk ke Brunei.
Dari pos kawalan Imigresen Brunei, kami perlu membayar tol di Jambatan Rasau, Kuala Belait sebelum meneruskan perjalanan ke BSB dengan jarak 100 kilometer lebih dan sempat menunaikan jamak qasar di masjid di Sg. Liang. Kiranya kami perlu menruskan perjalanan sepanjang 'highway' yang panjang sebelum jumpa lampu isyarat sebelum nak ke Muara.
Syukur alhamdulillah, kami sampai di rumah sahabat baik Linda di Barakas hampir maghrib menjelang walaupun sesat seketika. Kami menumpang berteduh selama dua hari dua malam. Layanan Jida dan Hasnan serta Babu sekeluarga memang terbaik (rasanya tak mampu kami balas). Terima kasih banyak kami ucapkan.
Keesokan paginya kami dibawa berjalan di sekitar BSB. Rasanya, kalau kami pergi sendiri tanpa Jida sekeluarga, mahu dua hari ambil masa nak menjelajahi bumi BSB. Kami sempat dibawa ke taman, ke dataran utama depan masjid dan kampung air, ke tempat membeli-belah-makan dan lain-lain. Dari pagi hingga menjelang maghrib baru kami sampai di rumah - penat agak terasa. Encik suami dan Zack sempat membeli kain dan menempah baju Melayu (sebab upah yang murah berbanding di Malaysia - RB14 = lebih kurang RM35).
Dalam keadaan masih kepenatan, kami terpaksa meneruskan perjalanan pulang dan perlu bermalam di Sibu. Perjalanan hala balik agak mencabar kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Nak sampai ke Sibu terasa amat jauh dan lama. Dalam pukul 4.30 petang, barulah kami sampai di bandar Sibu. Hmm.. nak cari makan kat tempat yang halal pun agak susah sebab dah malam (bertolak 7.30 pagi dari Brunei- hampir 10 jam di jalanan sebelum sampai ke bandar Sibu).
Usai bermalam, kami meneruskan perjalanan pulang ke Samarahan. Sempat singgah bersarapan merangkap makan tengah hari di kawasan rehat dan rawat di Betong. Kami sempat menyinggah di Sri Aman untuk melihat kawasan Benak (pertembungan air laut dan air sungai yang mewujudkan ombak luar biasa - siap ada pesta Benak lagi pada waktu tertentu).
Alhamdulillah kami akhirnya sampai di rumahku semula pada pukul 4.30 petang. Tamat pengkisahan perjalanan musafirku pada kali ini. Panjang umur, murah rezeki, akan datang lagi ke sana, insya-Allah.
Kesimpulan dalam pengembaraan kali ini:
1. Sekurang-kurangnya perlu berjalan dalam masa dua hari untuk menjelajahi bumi BSB.
2. Seeloknya berjalan waktu siang sekiranya tidak biasa bermusafir jauh - elakkan waktu malam.
3. Sekiranya ada kenalan, panjangkan silaturrahmi untuk menumpang berteduh.
4. Jangan minum air banyak sangat sebab tempat rehat yang amat terhad di sepanjang perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan