Bahagian 3
Wah! Kerajinan datang lagi! Jom sambung kembara...
1438. Dari bandar Sofia, bas bertolak melalui lebuh raya yang tenang, gunung-ganang dan perkampungan
yang damai, pokok-pokok pirus hutan, kawasan kilang, rumah yang ‘comel’, agak
usang dan sedikit serabut dengan sampah plastik yang bertaburan! Cuaca agak
mendung dan kemudiannya terik semula.
1525/19oC.
Berada di sempadan Bulgaria-Macedonia.
Pemeriksaan pasport di sempadan Sofia, Bulgaria – pegawai Imigresen naik ke bas
dan memungut pasport kami untuk dicap (kami tak perlu turun dari bas). 15 minit
kemudian urusan cap pasport selesai dan dikembalikan. Kemudiannya, ke depan sikit dan berada di sempadan masuk Macedonia,
pasport kami dikumpulkan semula (kalau tahu minta je Natasha pegang dulu) dan
diserahkan kepada pegawai Imigresen yang juga naik ke perut bas dan diserahkan
semula selepas selesai proses cap-mengecap.
1605.
Alhamdulillah. Selesai urusan cap-mengecap pasport dan dipermudahkan urusan
oleh Allah SWT. Meneruskan perjalanan sambil menikmati perkampungan dan
bangunan tipikal Balkan, penduduk yang bercucuk tanam, pokok-pokok epal dan
plum (disaluti warna putih kesan selepas musim sejuk), melalui cerun bukit dan
aliran sungai yang deras.
Setengah jam kemudiannya, berhenti sebentar di stesen
minyak di sebuah perkampungan di lereng bukit, rapat-rapat dan mempunyai aliran
sungai kecil yang deras, iaitu diberi nama “Gripa Palanka” untuk membeli air mineral dan membuang air! Proses
yang lama untuk membuang air disebabkan tandasnya hanya SATU sahaja untuk 30
orang! Terima kasih kak Pah beri kami sebotol air mineral yang besar. Syukur.
Nak beli sendiri, hmm... mereka tak terima duit selain duit tempatan dan 1 euro (mudah nak pulangkan baki). Air mineral berjenama Ladna, bukan Mi Ladna ok! Maklumlah lapar, mestilah ingat kat Mi Ladna kans! Hampir sejam
kemudian, barulah kami meneruskan perjalanan semula melalui perkampungan
Pasyaka, Nyaca dan lain-lain.
1832. Sampai di bandar Skopje (sebutannya Sko.pia) di Macedonia (kepadatan penduduk sebanyak empat juta orang dan separuh daripadanya beragama Islam). Dikenali juga sebagai “Justinia the prima” dan mempunyai penduduknya seramai 750 ribu orang. Bandar Skopje yang terletak di Sungai Barda merupakan ibu negeri kepada Macedonia. Pada tahun 1382, bandar Skopje telah dijajah oleh Kerajaan Uthmaniyah selama lebih 500 tahun. Macedonia pernah menjadi bangsa dan negara yang kuat disebabkan oleh kepimpinan Raja Philip II dan anaknya Alexander, penakluk terkemuka (sebab itulah banyak tugu beliau banyak dibina). Bandar yang unik dan kaya dengan nilai sejarah ini mempunyai pengaruh Turki yang kuat terutamanya pada bangunan di bazar lama (gabungan elemen sini bina moden dan sejarah) dan tempat-tempat bersejarah ini masih dijaga dengan baik.
Waktu sampai pun dah nak dekat maghrib, kami dibawa ke Masjid Mustafa Pasha (bersebelahan Internal Balkan University). Kedudukan masjid yang berada di dataran tinggi dan merupakan salah satu bangunan Islam yang paling cantik di Skopje, Macedonia dan dibina pada tahun 1492 dan masih utuh sehingga kini. Dibina 500 tahun dahulu oleh Mustafa Pasha (seorang pembesar dan penasihat pada zaman pemerintahan zaman Sultan Suleman). Perdana Menteri (Muslim) Yahya Pasha (dari Bosnia). Masjid ini merupakan monumen paling penting di Macedonia dan mempunyai seni bina yang menarik, mempunyai tingkap kecil dalam masjid dan sebuah menara 42 meter tinggi dan lengkungan kubah (terbesar di Macedonia) dan berdiameter 16 meter. Selain tempat beribadah, masjid ini menjadi pusat madrasah, ‘resting point’ dan mempunyai tempat wuduk yang unik (kepala paip yang menarik). Masjid ini pernah dibaik pulih selama lima tahun dan siap sepenuhnya pada tahun 2011 dan tidak mengalami banyak perubahan daripada bentuk asal (masa kami datang, tengah dibaik pulih juga).
Dari
kawasan masjid dapat melihat sebahagian besar bandar Skopje. Antaranya Sahad
Qulasi (masjid bata merah), Masjid Sultan Murad (mosque of the Sultan
al-Fateh-mempunyai menara tirus), Murad Fasha dan Old Turkish Bazaar (sejak
kurun ke-17 lagi). Old Turkish Bazaar merupakan ‘complete cover of
bazaar in Istanbul’ dan pernah musnah pada zaman pemerintahan Uthmaniyah dan
dibina semula sehingga menjadi bazar tercantik dan kedua terbesar di Balkan.
Di
bangunan Caramansara di Old Bazar menempatkan sebuah sekolah khas agama Islam
untuk kanak-kanak perempuan Islam di tingkat atas (dikenali sebagai Isa-Beg)
dan di tingkat bawah menempatkan restoran dan kedai menjual pelbagai barangan.
Pada zaman Kerajaan Uthmaniyah, tempat tersebut dahulunya menempatkan asrama di
tingkat atas dan di bawahnya menjadi tempat pemeliharaan haiwan. Para pengembara
yang datang ketika itu akan menginap sehari dua di asrama sebelum meneruskan
perjalanan ke destinasi seterusnya. Namun, kini para pelancong yang datang
semata-mata untuk melihat bangunan dan sejarah Macedonia dan membeli barangan
cenderamata!
1915.
Masuk waktu Maghrib tetapi tetap dibawa terus berjalan-jalan sekitar Old
Turkish Bazaar! (Tak banyak gambar diambil sebab penat) Turut dikenali dengan nilai sejarahnya dengan seni bina
Uthmaniyah dan Byzantine yang kekal jelas, melalui bangunan madrasah, tempat
asnaf, peguam dan lain-lain.
Puding karamel susu yang sedap, gambar dari jarak dekat..hmmm sedap! |
1930. Gambar atas: Pukul 7.30 malam, barulah dapat makan malam di Restoran Kebapcilnica (DESTAN). Makan apa? Makan
kebab daging, roti besar, salad, ‘solok lada’ dan bawang, dan puding ‘nekmat’,
sedap tapi tetap manis! Alhamdulillah, perut dah diisi, kenyang! Dalam
kedinginan malam, kami dibawa berjalan semula ke *Skender Square, Skopje yang
menempatkan banyak arca dan patung serta lukisan Iskandar Zulkarnain (Iskandar The Great) – berfungsi sebagai tapak budaya
dan politik. Fizikal dah penat tapi masih gigih mendengar penerangan daripada
pemandu pelancong di Skopje!
2032.
Menaiki bas melalui bangunan muzium, bangunan presiden, dan stone bridge untuk
ke hotel. Hotel Sultan, hotel pertama
tempat kami menginap, yang mana dari pagi sampai ke malam berada di jalan dan
tempat bersejarah tertentu. Nak masuk hotel ni pun spesel, kena naik tangga
untuk ke lobi! Hotel ni terapit di tengah dalam deretan bangunan kedai (dalam 5
tingkat rasanya-tak ingat pulak). Udah le beg kami ni semua besar dan berat,
beranak lagi! Lelaki-lelaki sado diperlukan untuk membawa beg kami ke lobi
termasuklah Ilya! Selepas daftar di kaunter, mujur ada lif untuk naik ke
tingkat atas! Tetapi dengan kapasiti dua orang campur beg masing-masing. Sabar
untuk bergilir-gilir masuk ke bilik walauu penat dan sampai ke hujungnya!
Dapat
bilik 208 dengan kak Siti Hawa-opkoslah! Kawan kembara sebilik hotel tersayang sepanjang
hayat! Haha...kalau dengan laki, konpem tak dapat sebilik dengan kak Hawa kans! Syukur dapat bilik yang cantik, macam bilik pengantin baharu! Perkara wajib masuk
bilik hotel, mencari arah kiblat (mujur ada disediakan kompas bolat siap dengan
arahnya), cari dan guna wifi, cas telefon bagai, mandi, solat dan tido ye
kawan-kawan! 0200 terjaga dari lena. Orang ambil wuduk dan solat sunat Tahajud
ke apa. Aku? Balas mesej suami...huhu. Almaklumlah kat Malaysia pukul 8.00
pagi! Siap balas mesej, sambung tido. Eloklah tu Suhana! Lena sampai pagi dek
kepenatan.
Kita tido dulu, sambung cerita kemudian...
Nota: Di bahagian mana yang dikatakan jatuh cinta dengan Macedonia? Sudah pastinya, keindahan Skopje dan tempat yang dilawati, cantik dan penuh bersejarah. Satu lagi bahagian...dapat melelapkan mata di bantal yang empuk setelah sehari semalam berjaga! Kalau kak Hawa, dia jatuh cinta dengan seseorang dah! Hihi..jangan marah kak, gegurau sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan