Mari kita santap minda dan iris (mata) agar lebih meriah hidup kita. Gituh! Penutup bulan Mac nih, jom layan cerita tentang makanan dan kehidupan pulak. Jap lagi nak masuk bulan April, tup tup lepas nih dah masuk bulan November pulak! Sekejap je masa berlalu nak-nak akhir zaman nih.
Apa kita nak cerita nih? Macam banyak tentang makanan jer. Layan je ye. Kita rangkumkan sekali gambar dan cerita asing-asing.
Hidangan kat bawah ni dihidangkan masa aku dan encik suami bertandang ke rumah sahabatku di Teluk Sisek, Kuantan. Kebetulan emaknya ada, beria jugak masak. Adalah satu hidangan spesel dijamu kepada kami - sambal bilis tumbuk dengan temu pauh (spesis macam halia) dan cili api (macam takde je cili api sebab tak rasa pedas berapi..haha). Yang hijau tu ulam raja (dihidang cantik je kan!) Layankan jugak. Oklah juga rasanya, tapi kalau buh cili api banyak, konpem aku ngadap sorang je nih..hehe. Terima kasih sahabatku kerana sudi menerima kedatangan kami dan menjamu hidangan yang sedap-sedap.
Sambal bilis temu pauh
Gambar bawah ni takoyaki sotong buatan tangan orang Melayu, seronoklah membeli dan makannya. Kalau keluar makan awal (sarapan) dah kenyang sebab makan bearat. Bila tengah hari sikit ambik pulak set takoyaki nih dan makan. Peberet laki bini, layans! Satu set RM5.20 tak silap dan ada rasa cheese dan mayonis. Kalau rasa tak cukup, ambiklah dua set baru puas hati.
Takoyaki sotong...pastu nyanyi..giyomi! giyomi...hehe...
Bukan
kat Melaka je ada keria antarabangsa! Kat sini pun ada dan dah femes duluan - dipanggil
cucur keria gula apung (gula merah) - keria tempatan. Sedap pun sedap. Tapi susah nak dapat
sebab kena tunggu mak Idzam buat, baru kami dapat makan..haha. Mak Idzam buat
mabeles, rasa isi keledeknya banyak. Kalau kat gerai biasa, banyak isi tepung dan
kureng sedap. Tapi bagus juga, nak makan sedap kena sekali-sekala jer. Kalau asyik
ada je, merajuk kang si penimbang tuh...haha...
Yang
ni pulak lontong stail orang Johor. Sekali-sekala dapat layan semangkuk lontong,
best sangat. Susah nak dapatkan nih sebab restoran Pinang Bistro ni hanya buka
waktu hari bekerja sahaja (untuk sarapan pagi dan makan tengah hari) kat area
Samarahan/depan UNIMAS. Walaupun dekat dengan rumah, tapi jauh dari
pejabatku...adoilah. Hanya dapat merasa kalau aku cuti rehat atau cuti sakit je
dan dapatlah lepaskan rindu. Kalau kat KL atau Johor dah banyak dah stail
lontong kering (tak berkuah) beza dengan lontong goreng ye! Janji ada sambal
goreng, sambal tumis merah, serunding dan ikan kering (dah macam nak makan nasi
Ambeng plak ye..hehe) dah cukup dah. Menu lain wajib makan kat restoran nih
ialah ayam ke puyuh goreng berempah, ikan keli goreng dan ikan bakar serta
ulam-ulaman. Mabeles!
Opkos..Lontong basah..hehe
Nasi
berlauk ni sedap kalau dapat makan kat area kampung. Sebab apa? Murah dan sedap.
Kat bandar memanglah banyak jual, kadang harga tak semenggah waima sedap. Kalau
balik area nak ke Pantai Timur, memang layan nasi berlauk nih. Cukuplah nasi
putih panas, buh kuah gulai ikan sikit dan timun, ayam goreng berempah dan
sambal pedas dia...pergh memang terangkat. Sedap amat! Haha..terliur pulak
cerita benda nih..hehe. Dah, dah..lap ngences itu!
Nasi berlauk...sedapnya..yang penting ada sambal cili,
ayam goreng, timun dan kuah gulai...hmm..
ayam goreng, timun dan kuah gulai...hmm..
Sambal
goreng Jowo. Gigih tak gigih aku buat sorang sebab teringin nak makan (duk perantauan
katanya). Nak buat sikit pun jadik banyak sebab guna campuran bahan yang
pelbagai - nak sediakan bahan memang remeh, letak sikit-sikit, bila campur
jadik banyak. Apakah bahan-bahannya? Skemalah pulaks..hehe. Senang je (???) Goreng
ubi kentang, tempe dan tauhu yang dipotong dadu (jangan lama sangat). Hiris
bulat lada besar dan bawang besar. Potong sayur kacang panjang dan lobak merah.
Rendam suun dan tauhu kering. Tumbuk bawang merah 2-3 ulas, bawang merah 2 ulas
dan sedikit lengkuas, katok serai se. Tumiskan dan masukkan 2-3 sudu besar cili
kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan serai, sesudu kicap je (kalau nak
hitam lebih, buh banyak sikit) dan secubit gula. Masukkan bahan yang digoreng
tadi, gaul sebati. Masukkan kacang dan lobak tadi, kemudian suun dan tauhu
kering yang dipotong, gaul sebati. Kalau agak kering, buh ayaq sikit je. Kalau
bagi basah lagi sedap (tak suka yang kering). Itu je bahan dan caranya. Mudah
kan? Rasanya spesel sebab ada buh lengkuas dan serai tuh – ada rasa keJowoan!
Sambal goreng Jowo..gituh..
Mi
Bandung. Kalau balik kampung memang suka gi kedai kawan adik nih. Order je
mesti nak makan mi bandung. Kat Sarawak susah nak jumpa, balik kampung wajib
makanlah. Kalau rasa gi makan malam dah agak lewat, orderlah mihun bandung,
mengkurus sikit mi nya..hehe. Baru ni terai makan maggie bandung, huwalahhh
sedap lagi beb walaupun pesan jangan letak Aji. Tabur bawang goreng lagi,
sedapnya. Pasni leh order maggie bandung terus-terusan!
Mi Bandung
Dah
sebut pasal maggie, meh cerita pula maggie kari santapan sarapan sekala
sekali...hehe. Stail kantin kat DBP sini, celur jap mi nya, letak air baharu,
panaskan dan masuk mi semula dan sayur/cili. Dah menggelegak, angkat tuang kat
pinggan, buh serbuk perencah kat atasnya. Sesetengah orang tak pandai makan
macam tuh sebab serbuk perencahnya tak dimasak. Aku gaul dan makan je, janji
sedap!
Maggie kari...
Bubur
lambuk stail Pantai Timur. Kalau nak masak, banyak kali fikir sebab nak makan
berdua je, jiran yang dapat makan pun jauh...hehe. Kalau dah masak, tak boleh
sikit, masuk-masuk semua bahan jadi banyak. Sayur-mayur opkoslah banyak. Nak
bagi sedap, rebus ikan selayang/sardin, ambik isi dan tumbuk dengan lada hitam.
Senang je masaknya, masak secawan beras macam biasa, lebihkan air untuk masak
macam bubur. Masukkan ubi kentang dan ubi keledek oren yang dipotong dadu. Agak-agak
dah jadi macam nasi bubur tuh, masukkan isi ikan tadi, santan dalam 500 ml,
hirisan halus serai, halia dan bawang kecik. Gaul sebati. Tambah air lagi kalau
agak kering. Masukkan sayur-mayur (midin, pucuk kayu manis, lobak merah, baby corn). Nak buh sotong dan udang pun
boleh. Gaul sebati dan masak sampai masak! Boleh jadi hidangan makan malam,
sarapan dan makan tengah hari!
Sup
ayam kental namanya! Sebab apa kental? Kental makan sup ayam nih dalam tiga
empat hari terusan! Haha..mudah disediakan dan mudah dihadam. Cara aku mudah je
nak bagi rasa mabeles... (tak nak ikut pun takpe). Hiris bawang besar (jenis
yang biasa atau holand pun boleh). Bahagikan dua, satu bahagian ditumbuk dengan
halia, satu bahagian lagi kita tumiskan dengan minyak zaitun sampai perang dan
kering (jadik bawang goreng). Sambil tunggu bawang tu kering, bolehlah potong
dadu bagai, lobak merah, ubi kentang, batang saderi dan timun. Timun! Sedap weh
letak timun, kengkawan ajar masukkan dalam sup. Nak lagi sedap buang kulit dan
empulur (kalau tua) dan potong ikut suka. Tumisan bawang tadi dah kering,
ketepikan, masukkan bawang dan halia yang ditumbuk tadi, tumis sampai berbau
harum (takkan bau petai plak kans!), masukkan air dan buh semua sayur mayur
tadi. Buh separuh je kiub ayam, separuh je tau! Dah menggelegak baru masukkan
hirisan ayam. Gaul sebati. Buh garam, rasa sedap, tutup api dan tabur bawang
goreng! Memang mabeles bila letak timun. Kalau nak masak tumis kering je timun
tu je pun sodap. Silalah cuba.
Habis
cerita tentang makanan, kita cerita alam semula jadi pulak. Pisang berangan di
rumah BM masih berbuah walaupun dalam situasi tanah yang terhad dan kecil je
tandannya. Jadiklah, rezeki jiran-jiran. Alhamdulillah. Pokok yang kat sini pun
rajin berbuah, alhamdulillah. Baka benih dari abah di kampung dipanjangkan dan
ditanam di KL dan Sarawak.
Setandan pisang ditinggal tuan
Yang
ni pulak, hasil tanaman kebun belakang rumah. Buah limau kasturi dan limau
purut yang sentiasa berbuah. Syukur pada Allah SWT. Nak guna sendiri, terhad je
nak guna. Apa lagi rezeki kawan-kawan pejabat dan makcik kantin lah jawabnya.
Niat semalam nak petik lagi, tapi lambat dapat masuk rumah sebab kunci pendua
ada dalam kereta satu lagi – yang dipandu encik suami...hehe. Bila dah lambat
masuk rumah, sampai lupa nak petik buah limau.
Hasil kebun belakang rumah
Lihatlah
sekitar alam, yang luas jauh terbentang! Cewah. Kita mungkin biasa lihat
situasi kucing boleh makan pelik-pelik kan? Samalah kami bila dapat lihat
kucing itu boleh je makan jagung kukus yang kami suakan. Banyak juga makannya.
Rezeki dimakan sama. Itu je nak cerita!
Hmmm sedap...
Roti Kayu Arang. Mesti pernah
dengar kan? Lokasi Kat Kg Bakar Batu, Bachang, Melaka. Apa yang speselnya? Roti
canai tu dibakar dengan menggunakan kayu arang (lihat dalam gambar di bawah)...hehe.
Rasanya enak sebab aroma kayu arang yang dibakar itu. Speselnya lagi, ada roti
nachos jugak. Beli satu, kongsi berdua makan pun ok sebab mewah dengan nachos
atas roti serta taburan hirisan kubis purple dan cheese yang membangkitkan
aroma kesedapan dan lemaknya...hehe.. Silalah cuba. Rugi kalau datang Melaka
tak mencuba Sekarang mudah je nak carik, google map ke waze je, dah jumpa
tempat. Takde susah mana nak carik. Sebab nak rasa dan mencuba, layankan aje
tekak ku ini. Sekurang-kurangnya, bila orang bertanya dah pernah pergi ke
belum, mudahlah jawabnya kans.
Sebelah kiri : Roti Tulur...telur daa
Sebelah kanan : Roti Nachos spesel di Roti Canai Kayu Arang
Santapan sarapan pagi...
Lihatlah...masih mengekalkan tradisi atau disebut kelainan.
Lain dari yang lain. Inilah yang dinamakan kelainan dan strategi perniagaan...
Kicap jenama Mahsuri. Iklan tak
berbayar! Fenomena kesedapan kicap pedas Mahsuri ini telah menular kat Sarawak.
(botol tengah warna merah untuk rasa pedas) Rasa kepedasannya memang boleh
diterima tekak kat sini...hehe. Sedap pun sedap dan ada rasa pedas sikit je
(tekak orang Malaya berbicara...haha). Cepat habis stok juga. Itu je nak
cerita!
Jenama semakin diminati di sini...
Pertama kali nampak
perekat/perangkap lalat diletakkan dengan sudu garpu kat gerai makan. Kiranya
toke kedai prihatin dengan kemaslahatan pelanggannya. Hehe..nampak banyak lalat
je, boleh bentang perekat sebelum menjamu selera.
Ceteka...apa kelainannya? Hehe...
Biskut Gery ni pun jadi fenomena
kat Malaysia. Ada dua versi keluaran, Thailand dan Indonesia. Yang berbungkus
satu-satu tu dari Thailand, yang bungkus sekali gus tu dari Indonesia katanya.
Tapi pada aku, Indonesia produktif dalam mengeluarkan biskut jenama nih. Ada
salutan cheese, coklat, cheese dan kelapa, seaweed dan lain-lain. Biskut ni
banyak dijual di Serikin. Banyak kali juga beli untuk kengkawan dan diri
sendiri. Bila dah femes, timbul isu menggunakan pewarna yang berbahaya katanya.
Begitulah putaran roda, banyak diuji dan teruji. Namun, baru-baru ni pihak
Indonesia telah memberi jaminan bahawa biskut Gery keluarannya adalah selamat
dimakan dan tidak menggunakan bahan yang dilarang. Terpulang kepada pengguna
sama ada nak beli atau tidak. Kalau rasa tak selamat dimakan, tinggalkan
sahaja.
Biskut Gery in the house...
Ceteka apakah ini? Uncang kopi
jenama Jardin. Balik dari Korea hari tuh, elok je simpan dalam peti kat BM.
Bila encik suami nampak, dicuba rasa, sedap pulak dan dibawa balik pulak ke
Kuching. Rasa kopi yang mild/nipis je rasanya. Dapatlah juga aku merasa.
Hehe...
Coffee - Mild
Meriahnya buah mahkota dewa nih
kans! Lokasi: belakang Laman Seni DBP kat sini. Pokok ditanam oleh encik Kadir
(dah pencen) katanya. Semoga dapat pahala lebih sebab hasilnya dapat dirasa
oleh orang lain. Kalau rajin, silalah petik, hiris nipis-nipis dan jemur sampai
kering. Boleh buat air minuman (macam air teh) untuk kesihatan. Bagus untuk
penawar darah tinggi dan kencing manis katanya. Kalau boleh ngap lepas petik
lagi bagus kans! Hehe...
Buah Mahkota Dewa ada di DBP! Ranum dan meriah.
Bunga
dua situasi.
Pokok
bunga ni semacam bunga ros tapi jenis besar. Baru perasan hari tu, bila keluarkan
kereta, nampak pokok bunga ni kat kampung. Sebelah pagi, bunga yang warna putih
kembang dan yang warna pink gelap kuncup. Bila balik dan parking kereta sebelah
petang, bunga warna pink mekar dan yang warna putih pulak kuncup. Subhanallah.
Maha Suci Allah.
p/s: Manalah
tahu Mak Aji boleh tolong jawabkan (nama pokok bunga)...hehe
Pokok bunga istimewa (tak tahu nama bunga) ...
Sebelah pagi..warna putih yang kembang.
Sebelah petang, warna merah pink yang kembang. Subhanallah.
Sebelah pagi..warna putih yang kembang.
Sebelah petang, warna merah pink yang kembang. Subhanallah.
Ok cukup cerita yang dicoret dalam bulan Mac. Lusa nak masuk April, bersedia dengan cerita lain. Selamat memasuki bulan April!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan