Pemergian rakan pejabat kami amat dirasai. Hilangnya bagaikan sekelip mata. Itulah berakhirnya perjalanan seorang manusia. Allah akan menjemput kita tidak kira masa, tidak kurang dan tidak lebih sesaat pun. Bagi yang masih hidup, masih terbayang wajah arwah dan memikirkan perjalanan hidup seterusnya. Secara tidak langsung, menginsafi diri akan kelemahan dan kekurangan amalan dalam diri. Sejauh mana keberadaan diri dan kecukupan amalan kebaikan yang pernah kita lakukan sebelum menghadap Allah.
Aku sedar, banyak lagi kekurangan diri yang perlu diperbaik dan amalan kebaikan perlu ditambah. Mungkin tidak perlu dibuat dalam skala yang besar sehingga payah untuk kita lakukan atau tidak buat langsung- paling kurang, senyum kepada rakan, berbuat dan bersangka baik dengan orang lain, bersedekah, hormat kepada rakan-rakan, berbuat baik dengan orang tua (telefon bertanya khabar), berbuat baik dengan jiran, berusaha menambah ilmu akhirat dan lain-lain.Semoga perjalanan hidup untuk hari esok, lebih baik dari hari ini dan semalam.
Tetapi itulah, jiwa ini seakan-akan meronta untuk menambah ilmu - pergi ke majlis-majlis ilmu. Semakin lama ditinggalkan, terasa agak kosong jiwa ini. Pernah menyuarakan hasrat dengan suami untuk berpindah ke kawasan kejiranan yang ramai orang Muslim dan penuh dengan majlis ilmu -surau atau masjid berhampiran. Insya-Allah ada jalan dan semoga Allah permudahkan hasratku ini. Aku tidak mahu terus lalai dengan keindahan dunia ya Allah, sehingga aku lupa akan Keberadaan dan Kekuasaan-Mu, ya Allah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan